Tuesday 31 March 2015

Usahawan Wajib Tahu: Faktor 4P Pemasaran, Bahagian 1 - Place.

Usahawan Wajib Tahu: Faktor 4P Pemasaran


Sedikit mengelirukan jika kita cuba menggunakan direct translation bagi salah satu “P” yang pertama bagi faktor 4P pemasaran bagi set yang pertama iaitu PLACE. Jika menggunakan direct translation ia membawa makna TEMPAT di dalam Bahasa Malaysia. Memang betul jika anda mengatakan “boleh juga”. Tetapi bagi mendefinisikan dengan lebih tepat, adalah jauh lebih mudah jika kita menyebutnya sebagai PASARAN. Apa itu pasaran yang dimaksudkan?


Oh yeah, sebelum itu, saya ingin berkongsi sedikit penerangan kenapa di dalam faktor 4P pemasaran itu saya memilih untuk bermula dengan PLACE?

Salah satu kepercayaan asas saya adalah Demand & Supply atau disebut Permintaan & Penawaran, yang berkait teori asas ekonomi. Di dalam fasa permulaan kewujudan ekonomi di mana-mana tempat adalah berpunca dari wujudnya Demand atau Permintaan. Setelah ada permintaan, barulah wujudnya peluang untuk penawaran atau pembekalan. Terjemahan dari transaksi yang berlaku apabila pembekalan memenuhi permintaan, terhasillah pendapatan atau revenue yang berupa sesuatu yang berupa nilai. Contohnya adalah wang. Wang adalah nilai.

Menggunakan logik Demand & Supply atau Permintaan & Penawaran (pembekalan), faktor pertama untuk dilihat adalah “Kewujudan Permintaan”. Permintaan adalah pasaran, iaitu jika kita hendak mengatakannya tanpa lidah dan penerangan yang berbelit-belit.

Maka, marilah kita berbalik kepada faktor Pasaran yang disebut di perenggan yang pertama tadi.

Pasaran adalah suatu konteks yang mempunyai permintaan. Konteks yang dimaksudkan adalah wadah atau container atau bekas. Sebagai contoh, dunia, sebuah rantau seperti ASEAN, sebuah negara, sebuah negeri, sebuah daerah, sebuah bandar, sebuah pekan, sebuah taman perumahan dan seterusnya. Konteks juga boleh di virtualkan. Sebagai contoh, pengguna Facebook ataupun jika anda suka, anda boleh pecahkan lagi kepada pecahan yang lebih kecil, sebagai contoh, FB Group. Pendeknya, pada hari ini, di zaman serba cepat dan pantas, di zaman semua orang adalah connected atau berkait-kait oleh satu tali yang kita panggil sebagai rangkaian internet dan telefon, anda akan jumpa pelbagai lagi jenis PASARAN.

Ok, sekarang kita telah faham secara ringkas apa itu pasaran. Apa lagi?

Sekadar tahu apa itu pasaran, ia tidak memadai. Kita perlu menyelidik jauh ke dalam lagi, untuk mengetahui apa yang ada di dalam pasaran. Sekadar mengetahui nama dan mendefinisikan pasaran tetapi tidak tahu apa yang ada di dalam pasaran samalah seperti kita tahu apa itu Makkah atau apa itu Amerika Syarikat. Bagaimana untuk mengetahui apa yang ada di dalam pasaran?

Untuk mengetahui sesuatu, anda memerlukan akses atau laluan ke pasaran. Laluan tidak semestinya bermakna anda perlu sampai ke sana, terutamanya di zaman internet pada hari ini. Memadai sahaja dengan mempunyai info yang sahih daripada sumber yang sahih. Ataupun....

Anda sememangnya tinggal atau berada di dalam pasaran. Ini sudah semestinya satu kelebihan buat anda kerana lebih mudah untuk anda memahami pasaran tersebut. Jika ini adalah situasi anda, pastinya anda boleh mendapat atau menghasilkan satu pandangan tentang permintaan yang wujud di dalam pasaran tersebut. Anda mungkin juga boleh menganggar saiz permintaan bagi sesuatu di pasaran tersebut. Saiz permintaan ini adalah kritikal untuk fasa “P” yang lain selepas ini. Ini kerana semua tempat mungkin mempunyai permintaan, tetapi pastinya masing-masing mempunyai saiz permintaan yang berbeza-beza. Di dalam artikel akan datang berkenaan faktor 4P pemasaran yang akan membincangkan “P” yang seterusnya, kita akan melihat bagaimana faktor saiz permintaan ini penting.

Untuk mendapat kelebihan di dalam pasaran, anda mungkin perlu menambah satu lagi faktor iaitu memahami karektor atau perangai Permintaan di pasaran tersebut. Apakah karektor atau perangai pasaran ini?

Sebagai contoh mudah dan fictitious atau khayalan, katakanlah bahawa Permintaan di pasaran tersebut mempunyai kesukaan kepada sesuatu yang besar. “Permintaan” akan merasa bangga dengan segala apa yang besar. “Suka segala yang besar” adalah satu keyword yang berguna untuk kajian faktor 4P pemasaran anda yang seterusnya nanti.

Nah, sekarang anda sudah bersedia untuk pergi ke “P” yang seterusnya untuk melengkapkan faktor 4P pemasaran anda. Ini kerana anda telah pun bersedia untuk memikirkan tentang Penawaran atau pembekalan pula iaitu untuk memenuhi permintaan yang wujud di pasaran tadi.

Semoga kita bertemu lagi di dalam sambungan artikel ini pada masa yang akan datang untuk membicarakan tentang “P” yang seterusnya di dalam faktor 4P pemasaran, set yang pertama. Mungkin jika anda mempunyai masa lapang, anda boleh membuat tekaan, apakah “P” yang seterusnya yang akan dibicarakan di dalam artikel tersebut.

Nota: Tulisan di atas adalah satu bentuk penulisan yang menumpukan kepada memupuk pemahaman mudah dan bukanlah suatu penulisan bercorak ilmiah yang sebenar-benarnya.

---------------------------------------------------------------------------------------------
DON JOSE: Coach "200% Sales Skyrocket Within A Year"
15 tahun pengalaman dalam penjenamaan digital, operasi & strategi perniagaan dan "Business Coaching for Performance" dengan rekod terbaik meningkatkan jualan tahunan klien sebanyak 200% yang bernilai berjuta-juta ringgit hanya melalui program selama setahun.


No comments:

Post a Comment